Tuesday, August 4, 2009

GiLoCatur Nak Cakap Pasal MAMAK Ini Hari


Kali ini GiLoCatur nak cakap pasal "MAMAK". Sebab apa? Sebab malam ni baru perasan ada dua laman blog catur tempatan yang menggunakan perkataan tersebut dalam URL. Yang pertama ialah Mamak Chess yang beralamat di http://mamakchess.blogspot.com/ dan yang kedua adalah GM Blog di URL http://gengmamak.blogspot.com/. Sebenornya GiLoCatur tidak tahu bebenor bagaimana mula timbul cerita tentang perkataan "mamak" ni di kalangan pemain-pemain dan peminat-peminat catur tempatan. Adakah disebabkan geng-geng mamak ni selalu praktis dan bermain catur di kedai-kedai mamak? Atau mereka ini ada rupa ala-ala mamak? Mungkin kawan GiLoCatur, Ng6, tahu sejarah atau cerita tentang mamak ni ....

Percaya atau tidak GiLoCatur dipanggil "mamak". Bukanlah sebab GiLoCatur ni berketurunan India muslim. Asal usul nenek moyang GiLoCatur adalah etnik Kampar dari Sumatera. Lebih tepat lagi Pulau Belimbing (Belimbiong), Pekan Kuok, Bangkinang. Macam mana pulak GiLoCatur ni dipanggil mamak? Siapa pulak yang panggil GiLoCatur mamak? Sebenornya begini ... dalam etnik Kampar yang ramai di Parit, Air Kuning, Bagan Datoh, Peket 60 Sungai Besar dan Temerloh (termasuk Allahyarham Sudirman Haji Arshad, orang Kampar Salo), mamak merupakan seorang yang sangat penting dan berpengaruh kepada anak-anak saudaranya (anak kemanakan dalam bahasa Kamparnya).

Mamak ini sebenarnya adalah pakcik sebelah ibu. Kalau yang sulung selalunya dipanggil Mak Odang. Kalau yang tengah dipanggil Mak Ongah. Ada juga yang dipanggil Mak Udo dan Mak Anjang. Dan yang bongsu akan dipanggil Mak Oncu. Ayah GiLocatur dipanggil Mak Ongah oleh semua anak-anak adik-adik perempuannya, iaitu sepupu-sepupu GiLoCatur. Bonda GiLoCatur panggil adik lelaki ibunya yang masih hidup dan sekarang menetap di Pekan Pasir Panjang, Mak Udo.

GiLocatur tidak mempunyai ramai mamak kerana bonda GiLoCatur yang bernama Hajjah Rahmah hanya mempunyai seorang adik lelaki, Haji Ismail. Nenek, atau Uwo dalam bahasa kamparnya, GiLocatur ada lima orang adik beradik, 3 perempuan dan 2 lelaki. Kakak beliau hanya ada seorang anak lelaki iaitu sepupu bonda GiLoCatur. GiLoCatur panggil beliau yang telah arwah Mak Odang Suman. GiLoCatur pula akan memanggil Haji Ismail dengan panggilan Mak Oncu. Beliau telah meninggal beberapa tahun yang lalu dan merupakan ayah kepada pemilik kedai Arked Man di Sungai Besar. Sementara adik perempuan nenek tidak mempunyai seorang anak pun. Manakala GiLoCatur pula dipanggil mamak oleh anak-anak kakak dan adik perempuan.

Apa pula panggilan bagi anak-anak saudara adik beradik lelaki? GiLoCatur ada ramai anak-anak buah daripada tiga orang abang. Mereka panggil GiLoCatur "APAK" Saleh. Ya, apak .. bukan hapak yer hehehe ...

Begitulah alkisahnya serba sedikit tentang perkataan "MAMAK" dalam kehidupan GiLoCatur. Diharap anak-anak GiLoCatur (Fikri, Anis dan Fahim) akan meneruskan panggilan dan gelaran tersebut sebagai satu warisan budaya bagi mereka dan anak-anak mereka. Sementelah pula GiLoCatur dan isteri sememangnya dari etnik KAMPAR yang sama.

Berikut di bawah adalah serba sedikit info dan maklumat tentang orang-orang KAMPAR.


Suku Kampar: Asal Usul Kita

Orang-orang suku Kampar (Kampau) berasal dari lima (5) kota utama yang merupakan penempatan utama di tepi Sungai Kampar di Kabupaten (daerah) Kampar di Riau, Sumatera iaitu:

i. Kuok (pekan sehari: Selasa)
ii. Salo (pekan sehari: Isnin)
iii. Bangkinang (pekan sehari: Ahad dan Rabu)
iv. Air Tiris (pekan sehari: Sabtu)
v. Rumbio (pekan sehari: Khamis)

Setiap kota terdiri daripada empat (4) suku utama iaitu:

i. Domo Bagindo Bosau
ii. Tok Said
iii. Piliang
iv. Melayu

Setiap suku mempunyai seorang ketua. Oleh yang demikian setiap kota akan memiliki 4 orang ketua suku yang akan menghadiri pertemuan ketua-ketua suku di kota Bangkinang. Ketua suku yang mempunyai bilangan anak buah yang teramai akan dipilih sebagai ketua suku sesebuah kota. Setiap perhimpunan ketua-ketua suku di Bangkinang akan dihadiri oleh 20 orang ketua suku (4 X 5). Seorang ketua suku sesebuah kota yang mewakili anak buah yang paling ramai akan menjadi ketua suku orang Kampar.

Orang Kampar datang ke Semenanjung Tanah Melayu melalui jalan laut Selat Melaka. Setelah itu mereka menggunakan jalan sungai dan darat. Seterusnya mereka membuat penempatan baru di kawasan sekitar sepanjang Sungai Pahang. Penempatan baru orang-orang Kampar bermula dari Pekan – Chenor – Temerloh – Jerantut. Selain itu mereka juga tersebar ke Kuantan – Mentakab – Kerdau - Kuala Krau dan Kuala Lipis.

Orang-orang Kampar yang mendarat di pantai barat Semenanjung membuat penempatan baru di Selangor (terutamanya di Batang Kali dan Kajang), di Perak (terutamanya di Batu Gajah, Kampar dan Parit Buntar).

Pekerjaan utama orang-orang Kampar ialah berdagang. Mereka menguasai bidang-bidang peniagaan kecil seperti perniagaan kain di pekan-pekan sehari terutamanya di daerah Pahang Selatan. Di bandar Temerloh, para peniaga orang Kampar mendiami rumah kedai di Jalan Abu Bakar (bangunan pink) dan deretan kedai yang di kenali sebagai Kedai Lintang (kerana kedudukannya melintang di hujung dua blok rumah kedai Jalan Abu Bakar. Sudirman Hj Arshad seorang penghibur Nombor 1 Malaysia pada satu masa dulu ialah seorang anak Kampar kelahiran Temerloh yang paling terkenal di Pahang. U-Wei Hj Saari, seorang pengarah filem terkenal Malaysia ialah anak Kampar kelahiran Mentakab.

Kini anak-anak keturunan Kampar sudah tersebar di merata ceruk-rantau Malaysia dan hidup membaur dengan keturunan suku-suku yang lain. Sebahagian daripada masih mewarisi bahasa dan budaya Kampar manakala sebahagian lagi sudah terputus hubungan dengan asal usul mereka.


2 comments:

  1. ingin berkenalan dgn awek kampar...hehehe

    ReplyDelete
  2. OKLAH TU .. KENAL LAH .. TP AWEK YG DAH DEWASA TAU! BUKAN YG BAWAH UMUR .. HEHEHE ..

    ReplyDelete